Trend Generasi Terkini...

My life. Alamku. Hidupku. Duniaku. Diriku. Suka tak suka, di sinilah aku meluahkan semuanya. Read on. this world is small. WHATEVER U SEE HERE, STAYS HERE!!

Name:
Location: Woodlands, Singapore

1990. Leo.
NYP (SBM)
Attached to outdoors, sports, nature & photography :)
NYP ADC is loved.

Friday, April 29, 2005

Isu Kasino


Keratan akhbar BH, Selasa 19 Apr Posted by Hello


Pemerintah telah memberi lampu hijau untuk membina dua buah kasino di Singapura. Walau bagaimanapun, sesetengah warga Singapura membantah keputusan pemerintah. Bagiku, tiada masalah untuk pemerintah membina kasino di Singapura kerana aku tahu ia adalah salah satu langkah untuk membangunkan ekonomi Singapura. Tetapi, apa yang aku bimbangkan ialah : Bagaimana pula dengan umat Islam di Singapura? Adakah kami dibenarkan masuk? Adalah lebih baik jika pemerintah menyekat kemasukan umat Islam bagi mengelakkan masalah sosial dan tahi judi. Kami diharamkan memasuki tempat-tempat maksiat seperti ini. Bagaimana pula dengan anak-anak muda di Singapura? Adkah pemerintah akan membenarkan mereka masuk? Jika tidak, apakah langkah-langkah yang akan diambil bagi melarang mereka masuk? Berapakah had usia bagi pengunjung-pengunjung kasino? Di negara barat sudah ada kasino. Pergaduhan dan permusuhan kerap kali berlaku. Adakah pemerintah sudah bersedia untuk berhadapan dengan masalah sebegini? Mungkin pemerintah dapat menjadikan masalah di barat sebagai satu pengajaran dan mengambil tindakan seterusnya yang wajar.
Setakat itu sahajalah dapatku meluahkan pandangan ku terhadap pembinaan kasino di Singapura. Harap pemerintah dapat melakukan sesuatu secepat mungkin agar Singapura tidak akan menjadi huru-hara. Akhir kata, saya akan sentiasa berdoa agar Singapura terus maju dan menjadi sebuah negara aman dan makmur.

Tuesday, April 26, 2005

Detik Yang Bersejarah Buatku


Pengawas-pengawas Sekolah Menengah Woodlands Posted by Hello

Seperti tahun-tahun yang lalu, sekolahku telah mengadakan suatu majlis untuk pengawas-pengawas (Student Councillor Investiture) bagi mengenal pasti ketua murid bagi tahun itu dan menyambut kedatangan pengawas-pengawas baru dari menegah satu dan dua serta mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengawas-pengawas menengah empat yang telah banyak berjasa kepada sekolahku. Tidak seperti tahun-tahun yang lalu , dimana aku menaiki pentas untuk menerima sijil kontrak selama setahun, kali ini aku telah dipilih sebagai ketua murid bagi tahun 2005. Aku berasa sungguh berbesar hati dan bangga atas kejayaanku ini. Titik peluhku selama 2 tahun yang lalu telah membuahkan hasil akhirnya. Aku dipilih setelah memenangi pengundian oleh guru-guru dan murid-murid disekolahku. Aku telah berjaya menawan hati mereka :).
Dengan jawatanku dan sokongan daripada penghuni-penghuni Sekolah Menengah Woodlands, aku berharap agar aku dapat mengharumkan nama sekolahku dengan masa yang terdekat ini. Aku akan cuba sedaya-upaya untuk membuat perubahan kepada sekolahku. Ini juga bermakna aku harus meningkatkan tahap persembahanku di sekolah agar menjadi contoh kepada murid-murid yang lain. Aku tahu ini bukan sesuatu perkara yang mudah. Perubahan tidak akan berlaku semalaman. Aku harus sabar dan tabah dalam menjalani kehidupan harianku di sekolah. Komen dan kritikan akan aku terima dengan minda dan hati yang terbuka.

Sambungan 'Detik yang bersejarah buatku'


Jawatankuasa Eksekutif 2005Posted by Hello
Ketua murid 2005 : Barisan hadapan, ketiga dari kiri (Nadiah).
Penolong ketua murid : Barisan hadapan, kedua (Fong Yee) dan keempat (Fahmi) dari kiri.

Thursday, April 21, 2005

Ulasan Novel


Novel Posted by Hello

Tajuk Novel : Satu Janji
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf 21


Cerita ini mengisahkan tentang seorang usahawan muda, Luqman, yang tinggal bersama keluarga angkatnya. Perasaan balas dendam timbul dalam dirinya apabila bapanya ditembak mati ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari pejabatnya. Motif pembunuhan disyaki atas dasar dengki.
Balas dendam,pencarian keluarga kandung keadilan, kasih sebuah percintaan, air mata dan kesetiaan seorang lelaki bernama suami, adalah satu janji yang melingkari hidup Luqman. Begitulah janji Luqman yang tidak sekali-kali berundur walaupun banyak rintangan dan cabaran, yang menjadi liku kehidupan, penuh ranjau berduri.
Tragedi pembunuhan ayah Luqman, telah membuka satu rahsia yang menjadi hijab jalur pengkhianatan. Pada ketika inilah Luqman menemui Adelia Musatapha. Kerana cinta, Luqman berjanji untuk mengenali wanita itu. Dan kerana janji itulah Luqman melamar Adelia. Mereka kemudian diijabkabulkan. Kasih dan cinta Luqman, rupa-rupanya menjadi racun berbisa di hati Adelia. Janji yang begitu teguh di hati Luqman membawa musibah akhirnya. Dengan segala kudrat, Luqman berjaya bangkit untuk menggapai janjinya semula.
Mesej yang ingin disampaikan penulis ialah kita sebagai manusia haruslah sentiasa berpegang kepada janji kita. Jika kita memungkiri janji, susah untuk orang di sekililing mempercayai kita. Penggunaan bahasanya padat dan senang difahami. Tiada penggunaan bahasa campuran. Pengajaran yang dapatku pelajari ialah sentaiasa berpegang kepada janji yang telah dilafazkan. Kasih sayang sesama insan juga penting dalam menjalani kehidupan harian.

Sunday, April 17, 2005

Cuti Sekolah Yang Lalu


Bergambar diluar Istana Kesultanan Melaka.Posted by Hello

Sebulan yang lalu, Jabatan Bahasa Melayu sekolahku telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke Melaka. Lawatan tersebut bertujuan mendedahkan kepada para pelajar kebudayaan Melayu dan sejarah kegemilangan kesultanan Melayu Melaka.Para murid terdiri daripada menengah tiga yang kebanyakannya dari aliran ekspres. Antara tempat yang kami lawati ialah sebuah tokong Cina di Jalan Hang Li Poh. Di sana, terdapat sebuah perigi yang airnya agak unik sedikit. Kami ditunjukkan satu aksi silap mata di mana pemandu pelancong kami menuangkan air perigi tersebut ke dalam sebuah mangkuk yang ditutup dengan tuala dan kemudian memusingkannya. Apa yang unik ialah air tersebut tidak tumpah!
Setelah itu,kami makan tengah hari di sebuah restoran Baba Nyonya. Di sana, kami dihidangkan dengan makanan orang-orang peranakan. Setelah itu, kami ke salah sebuah masjid yang tertua di Melaka iaitu Masjid Tengkera,untuk menunaikan solat jamak qasar. Tidak kami sangka, di perkarangan masjid itu juga terletaknya makam Sultan Hussin Shah, sultan terakhir Singapura.
Kami meneruskan perjalanan ke Stadhuys. Di sana, kami sempat bergambar dengan seekor ular Albino. Gerun rasanya apabila aku melihat sahabat-sahabatku bergambar dengan binatang tersebut. Maklumlah,aku takut dengan ular sejak kecil lagi. Selesai bergambar, kami mendaki bukit ke Gereja St Paul's. Penat sungguh kami mendakinya. Apakan tidak, ia terletak di puncak bukit. Di situ terdiri patung St Paul yang kodong tangannya. Menurut pemandu pelancong kami,ia mungkin disebabkan oleh dahan-dahan pokok yang ditiup angin lalu menghempap tangannya mengakibatkannya patah.
Kami kemudian ke Muzium Budaya dan Istana Kesultanan Melaka yang terletak tidak jauh dari kaki bukit itu. Di sanalah kami banyak mempelajari tentang budaya sejarah orang Melayu. Bangunan tiga tingkat itu dipenuhi dengan pameran-pameran kebudayaan orang Melayu seperti pakaian tradisional Melayu,keris dan banyak lagi.
Di situ jugalah berakhirnya lawatan kami. Kami mengatur langkah pulang ke tanahair pada jam kira-kira 5 malam dan selamat tiba di Singapura pada jam 9 malam.Aku juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada tiga orang guru Bahasa Melayuku iaitu Cikgu Fazil,Cikgu Suraidi dan Cikgu Hamimah atas pengorbanan masa dan kesabaran mereka melayankan kerenah kami sepanjang perjalanan. Harap cikgu dapat menganjurkan lawatan sebegini lagi pada masa akan datang.

Saturday, April 16, 2005

Hilangnya Seorang Insan


Allahyarham Alfian Posted by Hello

Pada pagi Khamis yang lalu, guru kelasku menyampaikan satu berita yang kurang baik. Waktu itu,kami sedang melakukan latihan Bahasa Inggeris yang dilakukan setiap pagi sebelum memulakan pelajaran harian. Ia adalah mengenai anak Cikgu Zainal,guru di sekolahku yang mengajarku Reka dan Teknologi(D&T). Menurut guruku lagi, anaknya meninggal dunia apabila motosikalnya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya petang Rabu itu ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Pusat Pemeriksaan Kastam Woodlands. Beberapa rakan sedarjahku terkejut mendengar berita malang itu. Kami turut bersedih dan simpati dengan apa yang telah berlaku. Apa yang menyayatkan hati ialah anaknya,Allahyarham Alfian,21 tahun,bakal memulakan pengajiannya dalam jurusan sistem maklumat di Universiti Pengurusan Singapura(SMU).
Setiap kali aku berhadapan dengan berita yang sebegini,perasaanku remuk. Kebanyakan pemuda maut akibat nahas jalanraya. Sudah banyak kali berita tentang kematian pemuda yang mati akibat nahas jalan raya muncul di akhbar. Kalau sudah tahu menunggang motosikal adalah agak merbahaya,mengapa diteruskan?Apa yang senantiasa berlegar-legar di mindaku ialah:Kenapakah remaja maut dalam usia semuda begini?Adakah ini akibat kecuaian dan kelalaian mereka?Ataupun ia memang sudah suratan Ilahi?Namun begitu,apa yang pasti adalah yang pergi tak akan kembali dan kehidupan harus diteruskan seperti sedia kala.Aku harap agar Cikgu Zainal sekeluarga tabah menempuhi segala cabaran dan salam takziah daripadaku.Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.Insyallah.Amin.
'Ada hikmah disebalik setiap dugaan.'

Thursday, April 07, 2005

Peraduan Mendeklamasikan Sajak

Sekolahku telah menganjurkan peraduan mendeklamasikan sajak di dewan sekolah kami sendiri iaitu di Sekolah Menengah Woodlands. Acara yang diadakan selepas waktu sekolah itu dihadiri oleh sekitar 6 buah sekolah menengah yang masing-masing menghantar peserta untuk mengambil bahagian di dalam peraduan tersebut. Peraduan itu dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian yang pertama adalah untuk peringkat menengah bawah manakala yang satu lagi adalah untuk peringkat menengah atas.
Setiap peserta telah memberikan persembahan yang terbaik. Ada yang bersajak dengan mimik muka yang bersahaja dan ada pula yang gagap. Walau bagaimanapun, mereka telah mencuba sedaya upaya untuk memberikan persembahan yang terbaik. Sementara para pengadil mengira markah untuk menentukan siapakah pemenangnya, murid-murid sekolahku telah membuat persembahan. Zureen menghiburkan para penonton dengan menyanyikan lagu yang berjudul 'Widuri'. Setelah itu,kami meneruskan persembahan pencak silat oleh tiga jejaka pesilat yang kecil molek tetapi handal.
Selesai sudah persembahan kami,pengumuman bagi kedua-dua kategori diumumkan. Suasana di dewan begitu tegang sekali. Semua orang begitu ghairah untuk mengetahui siapakah pemenangnya. Suasana kembali riuh dengan tepukan gemuruh dan sorak-sorai para penonton apabila naib juara dan juara bagi kedua-dua kategori diumumkan. Hadiah bagi para pemenang diberi oleh naib pengetua Sekolah Menengah Woodlands, Encik Ng Song Beng. Acara peraduan ditutup dengan ulasan oleh Cikgu Suraidi,salah seorang pengadil dan juga wakil bagi Jabatan Bahasa Melayu Sekolah Menengah Woodlands.
Bagi mereka yang tidak menerima hadiah,ia tidak bermakna bahawa anda telah gagal. Anda boleh mencuba lagi pada tahun hadapan ya!.
'Setiap pertandingan pasti ada yang kalah dan ada yang menang. Jadi,usah berputus asa dan berlatihlah dengan gigih lagi agar anda berjaya pada pertandingan yang akan datang!'

Wednesday, April 06, 2005

Pengalaman Baru

Ini pertama kali aku membuat lelaman 'online journal' atau lebih dikenali sebagai 'blog'.Selama ini aku telah memendam hasrat untuk membuat lelamanku yang tersendiri dan akhirnya hasratku tercapai jua.Ini dapatku lakukan setelah aku diperkenalkan dengan lelaman blog,di mana aku dapat meluahkan dan menceritakan kejadian seharian ku,oleh guru Bahasa Melayuku melalui latihan intensif yang diadakan pada waktu sekolah. Aku difahamkan bahawa blog adalah antara perkembangan yang terkini dengan adanya teknologi canggih.Oleh kerana ini adalah sebuah peraduan mencipta blog, aku akan mencuba sedaya upaya untuk mengemaskinikan kejadian seharian yang berlaku disekelilingku serta mencipta sebuah lelaman yang menarik dengan pertolongan sahabat-sahabatku dan guru-guruku.Insyallah.
Sekian.Selamat malam!
'Hidup mesti berani mencuba'