Cuti Sekolah Yang Lalu

Bergambar diluar Istana Kesultanan Melaka.

Sebulan yang lalu, Jabatan Bahasa Melayu sekolahku telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke Melaka. Lawatan tersebut bertujuan mendedahkan kepada para pelajar kebudayaan Melayu dan sejarah kegemilangan kesultanan Melayu Melaka.Para murid terdiri daripada menengah tiga yang kebanyakannya dari aliran ekspres. Antara tempat yang kami lawati ialah sebuah tokong Cina di Jalan Hang Li Poh. Di sana, terdapat sebuah perigi yang airnya agak unik sedikit. Kami ditunjukkan satu aksi silap mata di mana pemandu pelancong kami menuangkan air perigi tersebut ke dalam sebuah mangkuk yang ditutup dengan tuala dan kemudian memusingkannya. Apa yang unik ialah air tersebut tidak tumpah!
Setelah itu,kami makan tengah hari di sebuah restoran Baba Nyonya. Di sana, kami dihidangkan dengan makanan orang-orang peranakan. Setelah itu, kami ke salah sebuah masjid yang tertua di Melaka iaitu Masjid Tengkera,untuk menunaikan solat jamak qasar. Tidak kami sangka, di perkarangan masjid itu juga terletaknya makam Sultan Hussin Shah, sultan terakhir Singapura.
Kami meneruskan perjalanan ke Stadhuys. Di sana, kami sempat bergambar dengan seekor ular Albino. Gerun rasanya apabila aku melihat sahabat-sahabatku bergambar dengan binatang tersebut. Maklumlah,aku takut dengan ular sejak kecil lagi. Selesai bergambar, kami mendaki bukit ke Gereja St Paul's. Penat sungguh kami mendakinya. Apakan tidak, ia terletak di puncak bukit. Di situ terdiri patung St Paul yang kodong tangannya. Menurut pemandu pelancong kami,ia mungkin disebabkan oleh dahan-dahan pokok yang ditiup angin lalu menghempap tangannya mengakibatkannya patah.
Kami kemudian ke Muzium Budaya dan Istana Kesultanan Melaka yang terletak tidak jauh dari kaki bukit itu. Di sanalah kami banyak mempelajari tentang budaya sejarah orang Melayu. Bangunan tiga tingkat itu dipenuhi dengan pameran-pameran kebudayaan orang Melayu seperti pakaian tradisional Melayu,keris dan banyak lagi.
Di situ jugalah berakhirnya lawatan kami. Kami mengatur langkah pulang ke tanahair pada jam kira-kira 5 malam dan selamat tiba di Singapura pada jam 9 malam.Aku juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada tiga orang guru Bahasa Melayuku iaitu Cikgu Fazil,Cikgu Suraidi dan Cikgu Hamimah atas pengorbanan masa dan kesabaran mereka melayankan kerenah kami sepanjang perjalanan. Harap cikgu dapat menganjurkan lawatan sebegini lagi pada masa akan datang.

0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home